Lagi......Mengenai Penyelewengan

Memandangkan pentingnya di beri perhatian kepada penyelewengan dan betapa bahayanyamdan kerana menyambut saranan beberapa orang ikhwan, wajarlah kita membincangkannya sekali lagi untuk memberi penjelasan yang lebih lanjut di samping kita beriltizam untuk tidak menuduh dan buruk sangka kepada sesiapa pun. Yang paling kita utamakan di sini ialah golongan pemuda
Islam yang berminat untuk merealisasikan kebaikan untuk Islam. Kesalahan di dalam konsep,
kedangkalan di dalam kefahaman itulah yang membuat mereka tergelincir dan terpesong. Mereka
tergelincir dan terseleweng dari segi fikrah dan harakiah. Semakin hari semakin bertambah
penyelewengannya dan terus terpesong dan tersalah di dalam berbagai kegiatan dan tindaktanduknya
kecuali jika mereka diberi rahmat oleh Allah dan dibawaNya kepada Siratul-Mustaqim -
jalan yang lurus.
"Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia janganlah kamu mengikuti jalanjalan
yang lain lalu kamu dicerai-beraikan dari jalan-Nya, demikianlah Allah mewasiatkan kepada kamu agar
kamu bertaqwa". (Al-An'aam: 153)
6.1 Kontradiksi dan Kesulitan
Seseorang muslim yang ghairah dan memandang disekitarnya akan mendapati masyarakat
kita penuh dengan kontradiksi dan pertentangan yang hebat di antara waqi' (realiti) yang
merosakkan masyarakat ini dengan bentuk dan konsep yang dikehendaki oleh Islam untuk
masyarakat Islam. Dia akan dapati bahawa kehidupan di hari ini ditimpa oleh wabak dosa, dilanda
kemungkaran dan dilumuri maksiat lahir dan batin. Di satu pihak yang lain pula dia mendapati
kehidupan Islam yang bersih dari semua itu. Lantaran itu dia berdukacita dan berasa sangat hiba.
Manakah yang mesti dipilih dan diikut?
Adakah dia akan menyerah bulat-bulat kepada realiti dan bersikap negatif seperti
kebanyakan orang yang dengan mudah boleh melupakan segala apa yang diwajibkan Islam. Islam
mewajibkannya berusaha mengubah realiti dan suasana yang rosak itu dari terus terbenam ke
lembah maksiat dan mungkar menukarkan suasana dan kenyataan itu kepada bentuk Islam hingga
menjadi suasana dan realiti Islam. Ataupun dia mesti bersikap positif, tegas dan tangkas lantas
menyahut seruan akidahnya yang mendesak. Sikap ini nanti memberi dorongan kuat kepadanya
supaya dia bekerja dan berusaha merubah suasana yang rosak itu kepada suasana Islamik. Biasanya
dia akan memilih yang kedua itu kerana akidah sebenarnya mempunyai kuasa yang kuat ke atas
jiwa manusia. Tatkala itulah dia akan memikirkan segala tindakan, cara dan jalan. Hal ini
terutamanya berlaku di kalangan anggota yang baru dilatih dan kurang pengalaman. Jika sekiranya
tidak ada sesiapa yang memberi tunjuk ajar dan membimbingnya kepada jalan berfikir, berusaha
dan tindakan yang sihat, mungkin dia akan memilih jalan yang menyeleweng dan terus terdorong di
dalam penyelewengan sedangkan dia masih menganggap yang dia tetap di atas jalan yang benar
dan cara yang bijaksana, lalu ia menyalahkan usaha orang lain yang tidak bersetuju dengannya. Ini
akan membahayakan usahanya dalam rangka membawa kabaikan kepada Islam dan Muslim.
6.2 Siapakah Yang Bertanggungjawab
Apakah kita patut menyalahkan si penyeleweng itu sendiri dan mengganggap dia sahaja
bertanggungjawab terhadap penyelewengannya pada hal kita tahu niatnya baik ? Ataupun kita
periksa dan teliti sebab-sebab sebenarnya yang bertanggungjawab menyebabkan perkara tersebut
berlaku. Kekosongan jiwa agama yang dihayati oleh golongan pemuda, kontradiksi yang maha
hebat di antara realiti masyarakat yang rosak dengan idealisma masyarakat Islam yang dicitacitakan,
penindasan, gangguan dan penyiksaan yang dahsyat yang ditimpakan kepada para duat.
Ditambah lagi dengan melihatkan kekuasaan berada di tangan golongan perosak dan para jaguh
kejahatan yang bebas bertindak sesuka hati sedangkan jamaah Islam yang bertanggungjawab
mengumpulkan dan mendidik para pemuda yang berminat dan mahu bekerja untuk Islam di dalam
keadaan lemah dari segi tanzimnya. Sepatutnya jamaah inilah yang mengarahkan, menunjukkan
dan membimbing mereka melalui jalan dakwah menurut perjalanan RasuluUah di zaman silam,
begitu juga kita berjalan di atasnya pada hari ini dan seterusnya hingga kita menemui Allah.
Inilah faktor utama yang membawa para pemuda kepada penyelewengan. Mereka
tergelincir dari segi fikrah dan harakah (gerakan). Umpama kita melihat hukum-hukum yang
membahayakan akidah orang lain disebarkan dengan mudah tetapi yang melibatkan kedudukan,
muamalah, solat dan urusniaga pula berdasarkan kepada hukum-hukum dan fatwa yang
merbahaya, begitu berani dan tergopoh-gapah. Ataupun lahir pula bentuk-bentuk amal yang
mendadak akibat dorongan sikap tergopoh-gapah serta akibatnya dan demikianlah seterusnya. Jadi
dalam hal ini kita mesti berusaha mengatasi sebab-sebab yang hakiki itu sekiranya kita hendak
merawat punca sesuatu masalah.
Kita mestilah merasakan bahawa menjadi kewajipan kita supaya menerangkan kepada para
pemuda Islam tentang jalan yang benar dan sahih untuk fikrah dan amal Islami di dalam
perlaksanaan kalimah-kalimah ini berpandukan pengalaman generasi silam dengan mengharap
hidayah dan taufik dari Allah.
6.3 Syumul dan Berpandangan Jauh
Kita mestilah mempunyai pandangan yang syumul (lengkap) dan mendalam dalam kita
bekerja untuk Islam kerana urusan ni bukanlah semata-mata hanya melayani semangat dan
tindakan-tindakan yang tidak mengambilkira sebarang akibat dan natijah. Pengalaman dan ujian
pahit masa lalu telah menunjukkan kepada kita bahawa semangat yang meluap-luap bukanlah bukti
kekuatan iman penganutnya, malah ia menunjukkan kedangkalan jiwanya dan kurangnya
persediaan serta tidak bersabar di atas kesusahan jalannya. Biasanya terlintas di fikiran mereka
bahawa emosi, lonjakan dan semangat yang meluap-luap itu kononnya dapat merealisasikan
sesuatu untuk Islam yang tidak dapat direalisasikan oleh orang sebelumnya. Lebih melampau pula
mereka menuduh orang yang tidak bersetuju dengan lonjakan emosi dan luapan semangat sebagai
orang yang bacul dan lemah.
Sesungguhnya tugas, kewajipan yang diusahakan oleh para duat untuk merealisasikan batas
Islam adalah besar dan agung. Bukan hanya sekadar perubahan sampingan atau sebahagian atau
tempatan. Sesungguhnya ini adalah perubahan yang menyeluruh iaitu membangunkan daulah
Islam yang global kerana dakwah kita adalah bersifat sejagat dan untuk seluruh manusia. Musuh
dakwah Islam juga merupakan dunia antarabangsa, tidak hanya di suatu tempat tertentu sahaja.
Dunia hari ini bukanlah dunia semalam. Pengaruh alat-alat komunikasi yang moden tidak
meninggalkan sesuatu bahagian dari bumi ini terasing dari yang lainnya. Segala peristiwa yang
berlaku di suatu bahagian bumi menimbulkan reaksi yang cepat di seluruh dunia yang mesti diberi
perhatian dan perhintungan yang sewajarnya.
6.4 Jalan Yang Sahih
Sesungguhnya kebesaran tugas ini, banyaknya rintangan dan penindasan, berleluasanya
pengintipan musuh-musuh Islam terhadap kebangkitan Islam dan harakah Islam, tidak dapat
dijadikan alasan dan sebab untuk meninggalkan kerja dan usaha untuk Islam.
Perlulah diubah kenyataan yang batil dan membangunkan daulah yang hak, tetapi mestilah
dengan jalan yang sahih dan benar. Menanam kukuh asas akidah di dalam jiwa, mendidik dan
mempersiapkan generasi mukmin yang benar dan mampu bangkit membuat perubahan,
membangunkan rumahtangga muslim yang menjelmakan Islam dalam seluruh kegiatan dan aspek
kehidupan, bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh memenangi public opinion (pandangan
orang ramai) supaya mereka memihak kepada dakwah Islam. Faktor-faktor ini merupakan dasar
yang teguh untuk membangunkan undang-undang dan daulah Islam. Inilah jalan yang sahih dan
benar untuk menegakkan dan memenangkan dakwah Islam di muka bumi ini tanpa bergopohgapah
untuk mencapai hasil. Ini kerana sesungguhnya masa itu diukur dengan umur dakwah bukan
umur perseorangan.
Mungkin ada orang berkata: "Jalan ini lambat dan tidak mungkin melahirkan cita-cita yang
diharapkan. Lebih-lebih lagi dengan adanya cangkul peruntuh iaitu setiap persiapan dan
kelengkapan yang dibawa oleh pendokong kebatilan, lalu dengan mudah diruntuhkannya satu
demi satu".
Kita jawab: "Sesungguhnya pendapat ini tidak benar tidak sihat kerana sejarah
mendustakannya. Sirah Rasullulah s.a.w. mengatakan dan menegaskan bahawa sesungguhnya
dakwah Allah yang dikumandangkan oleh Rasulullah s.a.w. telah berjalan di atas jalan seperti ini,
di dalam suasana yang serupa di zaman ini, namun demikian baginda dapat memantapkan dasar
dasarnya".
Akhirnya Allah memberi kemenangan kepada baginda walau bagaimana besar sekalipun
penentangan pendokong kufur dan kebatilan dengan segala tipu daya mereka dan cangkul
peruntuh yang cuba membinasakan usaha baginda. Kelengkapan kufur dan jahiliah tidak mampu
meruntuhkan asas dan dasar orang yang beriman lantaran kekuatan iman dan kejituan akidahnya
dan sekarang sejarah akan mengulangnya lagi. Allah akan memberi kemenangan kepada yang hak
dan menghapuskan yang batil walaupun dibenci oleh golongan penjajah dan kufur dan benarlah
Allah Yang Maha Agung di dalam firmanNya:
"Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang batil. Adapun buih itu, akan hilang
sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi menfaat kepada manusia, maka ia tetap di
bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan ".(Ar-Ra'ad: 17)
6.5 Merubah Realiti dan Manghapuskan Kemungkaran
Sesungguhnya rasa tanggungjawab untuk merubah realiti masyarakat yang buruk dan hina
serta berselaput dengan segala adat lapuk tidaklah bererti terpaksa dirubah serta merta dan
memerangi secara langsung atau memasuki medan pertentangan. Ini akan melibatkan para
pendukugnya jatuh ke dalam satu pertarungan juz'iah yang mungkin memburukkan bentuk usaha
dan amal Islami dan menjauhkan manusia dari para da'i malah membangunkan tembok penghalang
di antara manusia dengan mereka tanpa menemui jalan kebenaran.
Janganlah disangka dengan meruntuhkan tempat yang dianggap manusia sebagai tempat
keramat dan sakti akan dapat menghalang orang awam membuat perkara yang bertentangan
dengan syariat Islam di sekitar tempat yang dianggap keramat itu atau akan menghalang mereka
daripada membangunkan semula bangunan keramat seperti itu pada masa akan datang. Janganlah
kita menyangka bahawa dengan meruntuhkan kedai-kedai arak dan tempat-tempat hiburan akan
menghapuskan mungkar dan maksiat dan akan membersihkan masyarakat daripadanya.
Di zaman mutakhir ini ada kejadian di mana ada segolongan manusia meruntuhkan
bebetapa bangunan hiburan dan kedai arak. Apakah yang terjadi sesudah itu? Para pendokong
maksiat dan mungkar segera membangunkan semula bangunan-bangunan yang lebih hebat
daripada sebelumnya. Mereka berkata: "Mereka meruntuhkannya dan merobohkannya
tetapi Allah memperkembangkannya dan memperbaikinya". Demikianlah pendokong maksiat
dan mungkar dengan sombong dan berani mereka kepada Allah. Itulah yang dipropagandakan
melalui suratkhabar.
Ini cuma satu contoh sahaja dan terdapat banyak lagi contoh-contoh yang lain dan lebih
bahaya dari itu yang mesti kita berwaspada daripadanya. Kerana sesungguhnya merubah
kemungkaran dengan cara seperti ini di dalam peringkat dakwah seperti sekarang ini bukanlah cara
yang betul. Jangan pula disangka bahawa tanpa berbuat demikian kita redha menerima realiti yang
buruk dan merosakkan itu ataupun disangka bahawa kita telah mengakui kemungkaran. Tiada
faedahnya kalau berusaha memperbaiki cabang-cabang pada hal pokoknya telah rosak binasa.
Marilah layangkan pandangan kita kepada Rasulullah s.a.w. di dalam peringkat dakwah
baginda di Mekah. Tidak mampukah baginda menyuruh sebahagian sahabatnya supaya
meruntuhkan berhala-berhala yang berdiri di sekitar Ka'abah di Masjidil Haram itu dengan tujuan
menghapuskan kemungkaran atau membunuh orang dari peminpin kufur untuk melemahkan
kekuatan dan kekuasaan mereka. Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyuruh berbuat demikian di
dalam marhalah itu kerana tindakan juz'iah seperti itu akan menambahkan kemarahan para
pendokong syurik dan penyembah berhala yang sememangnya telah marah kepada Rasulullah
s.a.w. dan para sahabat baginda. Sebagai tindakbalas mereka nanti bersungguh-sungguh mencari
orang-orang mukmin di setiap tempat untuk bertindak lebih keras lagi ke atas mereka dan terus
membunuh mereka seluruhnya. Sedangkan orang-orang mukmin pada waktu itu baru merupakan
benih yang lemah dan lembut. Kemudian para pendokong syirik dan berhala itu akan
membangunkan semula berhala mereka di situ dan boleh jadi lebih baik daripada yang telah
diruntuhkan. Tetapi Rasulullah s.a.w. menunggu waktu dan hari yang sesuai, barulah setiap berhala
itu diruntuhkan tanpa menerima tentangan dan akhirnya mereka tidak bangun lagi sesudah itu. Ini
terjadi setelah tentera mujahidin dari Madinah datang menawan kota Mekah pusat kufur dan
jahiliah di tanah Arab itu. Setahun sebelum peristiwa besar itu berlaku, Rasulullah dan muslimin
bertawaf di Baitullah padahal berhala itu masih berada di sekitar Ka'aah dan orang-orang kafir
Quraisy berada di luar Mekah. Namun demikian Rasulullah belum lagi menyuruh sahabatsahabatnya
meruntuhkan barhala-berhala itu. Mengapa? Kerana belum tiba masa yang sesuai, tetapi
kemudiannya berhala-berhala itu telah dimusnahkan apabila waktu yang sesuai:
"Dan katakanlah: Yang benar telah datang dan yang bathil telah lenyap. Sesungguhnya yang bathil itu
sesuatu yang pasti lenyap".(Al-Isra': 8)
Sepohon kayu yang besar dan keras batangnya, adalah bermula dari batangnya yang lembut
dan beransur-ansur naik tinggi, kerana menurut hikmah yang dikehendaki Allah. Setiap kali ditiup
angin kencang atau dipukul ribut taufan, dia melentok lembut dan condong bersama angin tetapi
setelah ribut itu reda, dia akan tegak kembali. Waktu demi waktu dia beransur tumbuh dan
membesar, akarnya terus menjalar di setiap penjuru, batangnya beransur besar dan keras sedikit
demi sedikit dan condongnya pula berkurangan bersama tiupan angin sehingga tiba waktu
sempurna kekuatan batangnya, kedalaman dan kejauhan jalaran akar umbinya dan mampu
menghadapi angin dan ribut taufan. Di waktu itulah dia tidak akan patah dan tidak dapat dicabut
oleh angin ribut. Cubalah kita fikirkan batang yang tinggi pada mulanya dan keras tentu mudah
dipatahkan oleh angin ribut atau dicabut ribut. Demikianlah juga dakwah Islam di waktu tumbuh
dan berkembangnya diperingkat lemah dan sedikit bilangannya, adalah tidak sesuai baginya
menghadapi musuhnya dengan kekuatan dan kekerasan, tetapi mestilah dihadapi dengan
kesabaran, ketabahan, ketahanan, redha menerima segala derita sehingga ia menjadi satu organisasi
yang kuat.
Demikianlah pula sebaliknya, adalah tidak benar kalau kita paksa pokok yang telah keras
batangnya untuk tunduk dan condong sebab yang demikian itu merbahaya kepadanya. Demikian
juga halnya dengan harakah Islam, apabila dia telah kuat, tidaklah ia redha menerima taraf
kedudukan yang lemah. Oleh kerana itu, di waktu itu telah turun firman Allah:
"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai.
Dan sesungguhnya Allah benar-benarMaha Kuasa menolong mereka
itu ".(Al-Hajj: 39)
6.6 Kesabaran, Ketahanan dan Penyampaian Dakwah
Gambaran ideal lagi benar dalam jihad di tahap permulaan dakwah tergambar di dalam
kesabaran atas gangguan dan ketahanan di medan dakwah serta bersungguh-sungguh menjalankan
dakwah. Proses ini kadangkala mengakibatkan istisyhad (mati syahid) sebagaimana yang terjadi
kepada Yassir dan Sumayyah r.a. Tiga unsur yang sangat penting di peringkat pertama dakwah
ialah sabar, tetap bertahan (istiqamah) dan menyampaikan dakwah. Itulah rahsia kehidupan
dakwah Islam. Itulah sebab-sebab yang mengekalkannya dan mengembangkannya.
Sesungguhnya contoh-contoh kesabaran dan ketahanan seperti Yasir, Sumaiyah dan Bilal
serta lain-lain sahabat Rasulullah s.a.w. telah membawa peranan penting dan utama untuk dakwah
pada waktu itu. Dari sinilah kita sentiasa mendapat bekalan dan kekuatan yang mendorong kita
meneruskan dakwah dan jihad setiap kali kita membaca sirah mereka.
Kelihatan pada zahirnya ada orang yang menyangka bahawa sikap tersebut sebagai sikap
dan tindakan negatif. Sangkaan tersebut adalah salah kerana hakikatnya itulah kemuncak positif. Di
dalam kesabaran, ketahanan dan terus menyampaikan dakwah, inilah pemberian, penanggungan
dan penentangan terhadap pendokong kebatilan berkesudahan dengan kekakalahan mereka dengan
kekuatan iman dan kekuatan akidah para penganut Islam di masa itu. Kekalahan sedemikian telah
dirasai oleh Abu Jahal berhadapan dengan kesabaran dan ketahanan Bilal r.a.
6.7 Jihad dan Menjual Diri Kepada Allah
Sebahagian pemuda bertanya: "Selagi jihad itu perlu dan kita telah berjanji menjual diri dan
harta kepada Allah, mengapa kita tidak berjihad dan menyerahkan harta kepada Allah?". Saya
jawab: "Sesungguhnya orang yang telah menjual diri dan hartanya kepada Allah, tidak berhak
mengorbankan diri dan hartanya itu sebarang waktu dan amal yang dikehendakinya, tetapi mestilah
pada waktu dan di dalam amal dan usaha yang telah ditentukan oleh syariat Islam. Sesungguhnya
Allahlah yang mengira, yang mengarahkan bila, di dalam kerja apa, dan bagaimana kita
menyerahkan jiwa dan harta kita. Sama ada di tengah-tengah gangguan, penindasan, penyiksaan,
kesabaran dan ketahanan ataupun di tengah-tengah peperangan, jihad dan penentangan kepada
musuh-musuh. Janganlah kita mudah didorong oleh sentimen, perasaan melulu atau terburu-buru
mempercepatkan natijah serta buahnya lalu kita membuat kerja-kerja, usaha-usaha dan pertarungan
yang juz'iah di mana kita mengorbankan jiwa dan harta kita tanpa membawa f aedah yang nyata
untuk dakwah. Tindakan-tindakan begini membawa keuntungan dan menambah kekuatan para
pendokong kebatilan. Satu dari pengertian indah di dalam masalah ini ialah sepotong kata-kata
hikmah, "Orang yang telah menjual dirinya kepada Allah tidak berhak ke atas orang yang
menyiksanya. Sesungguhnya Allahlah yang mempunyai hak ke atasnya sama ada Dia hendak
mengampuninya ataupun menyiksanya".

KATA MEREKA

Kontak Gema Dakwah : tarqiyahonline@gmail.com

Lebih baru Lebih lama